Cabaran Belajar Separuh Masa Bagi Wanita
CABARAN bagi pelajar yang menduduki Pengajian Jarak Jauh (PJJ) bukan satu ujian mudah. Bahkan senarainya mungkin tak dapat ditulis.
Sedangkan mereka yang bujang dan bergelar lelaki juga boleh luntur semangat, apatah lagi halnya bagi seorang wanita, isteri dan ibu pada satu-satu masa.
Ketika membuat keputusan untuk sambung belajar, tentu sekali bahang dan semangatnya luar biasa. Maklum sahaja sudah lama meninggalkan kerusi belajar. Maka semangat untuk mengulangi zaman-zaman menuntut ilmu dalam kelas itu mula berlegar-legar dalam fikiran. Seronok dan teruja!
Namun setelah beberapa semester berlalu, kepayahan mengurus segala cabaran diiringi peredaran waktu dan persekitaran hidup serta beban tanggungjawab sedia ada, dilema mula menghantui.
Cabaran ini mencakupi faktor pengurusan masa yang cekap dan berkesan, cabaran dalam menghadapi sistem pengajian kaedah jarak jauh yang sememangnya berbeza daripada konsep pengajian sepenuh masa; cabaran untuk menguruskan hal-hal personal dan keluarga; cabaran mengutamakan hak prioriti terhadap urusan yang dibuat; serta tidak lain dan tidak bukan, cabaran dari segi kewangan.
Andai kata seorang wanita tidak kuat menghadapi sebahagian senarai di atas, tentu sekali dilema yang dihadapi semakin menekan minda dan psikologi. Seterusnya membawa kepada kegagalan dan berhenti di separuh jalan.
Persoalannya bagaimana? Dan apa yang menjadikan seorang wanita itu dilema dalam menjalani pembelajaran jarak jauhnya?
Sebenarnya, cabaran utama adalah tanggungjawab yang dilaksanakan di rumah itu adalah antara sebab tak langsung yang memberi ‘kemudahan’ kepada pengajian saya. Kerana, tanggungjawab utama adalah pada keluarga, kedua pada impian saya. Berbeza dengan lelaki yang belajar dan berkeluarga, bagi wanita, walaupun suami ada membantu, keluarga masih memerlukan kita sebagai orang yang menguruskan rumah tangga. Bila tanggungjawab utama dapat dilaksanakan dengan baik, automatik tuhan akan bagi kemudahan pada pengajian kita.
Bagi saya, cabaran diri saya adalah untuk jadikan 100 peratus masa di pejabat untuk kajian. Tiada Facebook atau sembang kosong dengan group mate.Cabaran itu adalah nak seimbangkan semuanya agar berjalan seiring. Semoga segalanya berjalan dengan sebaiknya
0 comments