Latest Posts

PENGGUNAAN E-DAGANG OLEH USAHAWAN-USAHAWAN DI MALAYSIA

By 01:26



  

 

PENGENALAN E-DAGANG

Kemajuan teknologi pada masa kini telah banyak meningkatkan daya saing dalam ekonomi dan perniagaan di seluruh dunia. Kebanyakan syarikat menggunakan komputer, internet dan perisian untuk meluaskan perniagaan mereka dari pasaran tempatan ke pasaran antarabangsa.
            Perdagangan Elektronik atau dikenali sebagai E-Dagang (Electronic Commerce) merupakan satu sistem perniagaan secara atas talian (on line) iaitu satu proses pembelian dan juga penjualan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih, sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi. Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk  mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.
            Pada masa kini website e-dagang telah digunakan secara komersial, dimana sudah ramai usahawan dan peniaga menggunakan website e-dagang untuk menjalankan perniagaan secara online. Sekiranya seseorang individu atau syarikat berminat untuk berniaga secara online, website e-dagang adalah salah satu website yang sesuai untuk mereka. Secara tidak langsung, e-dagang ini telah membawa impak yang terbesar terhadap peningkatan ekonomi di Negara kita. Pembangunan ekonomi yang semakin pesat dan maju telah memberi kesan yang mendalam terutamanya, bagi Negara-negara yang sedang membangun dan saling berdaya saing antara satu sama lain.




Perkembangan e-dagang bermula sejak kemunculan internet pada tahun 1969 seterusnya berkembang dan wujudnya E-dagang (E-commerce). Internet lahir pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Research Institut, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang di kenali istilah ARPAnet (Advanced Research Project Agency) yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan Negara Amerika Syarikat.

            Selepas tiga tahun, lebih dari lima puluh universiti telah terhubung bersama-sama dalam jaringan (network), dan jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama jaringan antara kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini mulai terhubung satu dengan yang lain, dan muncullah istilah internet.
            Dalam konteks perniagaan, internet membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia perniagaan yang dikenali sebagai “Digital Marketing”. Awal tahun 1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat mencapai jutaan pelanggan, maka muncullah istilah baru “Electronic Commerce” atau lebih dikenali E-commerce. Perdagangan Elektronik juga dikenali sebagai e-dagang. E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.
            Istilah “perdagangan elektronik” telah melalui perubahan mengikut zaman. pada awalnya, perdagangan elektronik bererti pemanfaatan transaksi komersial, seperti penggunaan EDI untuk mengirim dokumen komersial seperti pesanan pembelian atau invoice secara elektronik.
            Kemudian terus berkembang menjadi suatu aktiviti yang mempunyai istilah yang lebih tepat “perdagangan web” — pembelian barang dengan melalui World Wide Web melalui server selamat (HTTPS), protokol server khusus yang menggunakan enkripsi untuk merahsiakan data2 penting pelanggan.
            Pada awalnya ketika web mula terkenal oleh umum, pada 1994 banyak penulis merakamkan bahawa e-commerce akan menjadi sebuah sektor ekonomi baru. Namun, sekitar empat tahun kemudian protokol keselamatan seperti HTTPS memasuki tahap matang dan banyak digunakan. Antara 1998 dan 2000, banyak bisnes di AS dan Eropah mengembangkan web perdagangan ini.

KEPENTINGAN E-DAGANG DALAM PERNIAGAAN


Internet merupakan alat komunikasi yang amat berkuasa di dalam bidang perniagaan dan e-dagang merupakan satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di seluruh dunia. Ini adalah disebabkan peningkatan yang ketara dalam Teknologi Maklumat (IT) di mana ia bertindak sebagai penyokong utama E-Dagang.
            E-dagang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu e-dagang di antara perniagaan dan perniagaan dan e-dagang di antara perniagaan dengan pengguna. E-dagang di antara perniagaan dengan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau  lebih syarikat di mana satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu organisasi penjual dan pemasar yang lain. E-dagang di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual produk akhir dengan pengguna.
            E-dagang amatlah perlu dan ia memainkan peranan yang penting di dalam bidang perniagaan. Antara kepentingan e-dagang dalam perniagaan ialah:-

1.    Urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos.

Ini kerana, peniaga tidak perlu lagi mempromosikan barangan atau produk mereka diluar seperti mengadakan promosi di pasar raya, tempat- tempat awam dan di tepi-tepi jalan. Manakala mereka boleh mengiklankan setiap barang dan produk mereka dengan mudah iaitu dengan menggunakan kemudahan internet.
Kerja-kerja pengiklanan dan promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah malahan kosnya juga dapat dikurangkan seperti kos tenaga kerja dan kos pengangkutan dalam aktiviti promosi. Disamping itu, pelanggan tidak perlu membuang masa untuk pergi kesesuatu tempat  untuk membuat tempahan, malah boleh membuat tempahan secara atas talian (on line).

2.    Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Contohnya, seseorang pelanggan akan mendapat barang tempahannya dalam tempoh yang singkat di mana e-dagang membolehkan tempahan pelanggan dihantar dengan serta-merta kepada bahagian dalaman syarikat yang berkenaan seperti bahagian penjualan, bahagian logistik dan bahagian pembuatan untuk diproses dengan segera.

PENGGUNAAN E-DAGANG SECARA GLOBAL


E-dagang telah digunakan secara global di serata dunia bagi mengembangkan perniagaan masing-masing. E-dagang memainkan peranan yang penting dan sangat efesian dalam memasarkan barangan dalam dan luar negara. Sebenarnya e-dagang amatlah penting dalam pasaran global. Ini kerana ianya, Kebanyakan pengguna kini menginginkan sesuatu yang cepat walaupun barangan tersebut sukar dicari. Salah satu cara mereka ialah dengan mencari barangan di internet dan melakukan pembayaran terus secara atas talian (on line). 
            Selain itu, ia membolehkan penjual menjual barangan mereka serta merta dengan menembusi pasaran global secara cepat dan mudah. Hal ini kerana produk yang dipaparkan di internet adalah 24jam sehari dan 7 hari seminggu tanpa sekatan. Barangan seperti ubat-ubatan atau barangan antik dari luar negara mungkin sukar diperoleh di dalam negeri. Tetapi, sekiranya menggunakan khidmat e-dagang segala-galanya boleh didapati dengan begitu senang. 
            Waktu bekerja yang flaksibel Jika sudah bekerja, tetapi inginkan pendapatan sampingan, maka perniagaan e-dagang adalah cara yang terbaik. Ini kerana, melalui perniagaan secara online peniaga tidak memerlukan 8 jam sehari dan 5 hari seminggu untuk ke tempat kerja. Tambahan, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa yang di sukai dan selesa. Dengan hanya menggunakan komputer dan internet  sahaja peniaga dapat menjelajah di dunia perniagaan tanpa sempadan.
            Khidmat e-dagang menggalakkan usahawan menceburi lebih dari satu perniagaan Memandangkan modal untuk memulakan perniagaan di internet jauh lebih murah berbanding berniaga secara offline maka, ini membuka peluang yang lebih kepada usahawan untuk mempelbagaikan perniagaan lebih dari satu jenis. 
            Rata-rata pengguna masih lagi ragu-ragu terhadap keselamatan transaksi melalui talian dimana terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Namun begitu dengan kemunculan teknologi seperti Secure Electronic Transaction (SET), Secure Socket Layer (SSL), peningkatan keselamatan Firewall diharapkan dapat membantu mengurangkan kegusaran pelanggan. Sebagai contoh, teknologi SET memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan identiti mereka semasa melakukan urusniaga. Pengesahan ini akan dilakukan secara luar talian seperti melalui telefon, faks dan sebagainya ( Lee Fong Yeaw, 2013 ).

TAHAP PENGGUNAAN E-DAGANG DI MALAYSIA

Di Malaysia, penggunaan e-dagang masih dianggap medium baru bagi kebanyakan masyarakat. Mereka lebih gemar menjalankan perniagaan secara tradisi iaitu secara langsung dan menjalankan transaksi secara bersemuka tanpa menggunakan teknologi ICT. Hanya sebahagian individu terutamanya menjalankan urusan niaga menggunakan konsep e-dagang ini seperti membuat pembayaran bil, pembelian barangan secara on line, pembelian tiket kapal terbang dan banyak lagi.
            Pada tahun 2006, Kerajaan Malaysia melancarkan kesemua perkhidmatan awam menggunakan sistem secara atas talian (on line) untuk urusan rasmi mahupun urusan perniagaan antara kerajaan. Pendekatan ini telah dibuat setelah melihat perkembangan penggunaan aplikasi menerusi On line tersebut telah berkembang dengan lebih pesat di beberapa Negara.
            Antara pihak kementerian dan agensi yang terlibat adalah seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS), telah melancarkan satu program dengan terbitan E-dagang iaitu AgriBazzar.com pada tahun 2004. Setelah wujud E-dagang, ianya membolehkan urusan jual beli dilakukan dengan hanya perantaraan menerusi Internet. Ia dapat mengurangkan kos dari segi logistik dan pengurusan.
          E-dagang di Malaysia sebenarnya telah pun mula berkembang dengan pesat sejak tahun 2000. Hal ini dapat dilihat apabila pendapatan yang telah berjaya diperolehi adalah sebanyak RM 1.6 bilion. Jumlah ini telah melonjak sebanyak 600% jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan tahun sebelumnya. Satu kajian telah dilakukan pada tahun 2000 dan telah mendapati 5% daripada pengguna internet di Malaysia pernah melakukan pembelian menerusi e-dagang. Pada tahun 2005 pula kajian yang telah dilakukan oleh SKMM pula mendapati sebanyak 9.3% pengguna internet telah melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan e-dagang. Pada tahun 2006 pula, sebanyak 11.4% peratus pengguna internet telah melakukan pembelian menerusi internet. Manakala pada tahun 2010, SKMM mendapati bahawa jumlah tersebut telah meningkat kepada 33.6%. Hasil daripada kajian tersebut telah menunjukkan bahawa aktiviti yang melibatkan penggunaan e-dagang dalam internet telah mula mendapat perhatian daripada para pengguna internet. Penggunaannya semakin meningkat saban tahun. Hal ini dijangkakan akan terus meningkat sejajar dengan peningkatan penggunaan internet tersebut. Menurut akhbar Berita Harian bertarikh 28 Oktober  2015, bilangan pengguna Internet yang aktif di negara kini melebihi 20.1 juta berbanding 18 juta orang pada 2012.
            Presiden dan Ketua Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Ueno, berkata, akses internet di seluruh negara serta sokongan padu komuniti perniagaan selain perkembangan positif dalam aktiviti beli-belah dalam talian, membeli-belah sosial akan terus menjadikan Malaysia sebagai pasaran e-dagang yang cergas dan menguntungkan(Utusan Malaysia, 2012).
            Sokongan dan peranan kerajaan amatlah diperlukan terutamanya berkaitan dengan aspek keselamatan dan perundangan untuk menarik perhatian pengguna dalam menggunakan perkhidmatan e-dagang. Kerajaan perlu merangka beberapa dasar yang dilihat tidak membebankan dan efisien. Kerajaan perlu sentiasa memantau dan memastikan undang-undang e-dagang dari semasa ke semasa agar ianya tidak mendatangkan beban kepada pengguna dan juga undang-undang  yang ditetapkan hendaklah bersifat telus dan melindungi hak, harta dan mengawal sebarang bentuk penipuan.
            Pihak swasta juga perlu memainkan peranan yang penting dalam perjalanan e-dagang di Malaysia. Pihak swasta hendaklah mewujudkan satu sistem transaksi selamat yang melindungi pengguna dari ancaman penggodam siber supaya maklumat peribadi pengguna tidak disalah gunakan. Penyediaan kemudahan yang bersifat mesra pelanggan perlu diwujudkan supaya persekitaran komunikasi dan interaksi dapat dijalankan dengan lancar dan selesa.

 
CABARAN / HALANGAN PENGGUNAAN E-DAGANG

E-dagang merupakan sebuah teknologi baru yang tidak terlepas daripada cabaran yang ditempuh dalam usaha untuk dikembangkan serta digunapakai oleh orang ramai. Ia kurang mendapat sambutan kerana masih lagi di peringkat awal terutamanya bagi negara yang membangun. Cabaran dan rintangan yang dihadapi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malahan di seluruh dunia. Tidak semua golongan masyarakat dapat menyambut baik teknologi baru yang diperkenalkan ini. Terdapat sebahagian yang masih berminat untuk menggunakan perkhidmatan e-dagang ini untuk urusan kerja dan juga aktiviti seharian.
            Ketidakcukupan perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar merupakan faktor utama dalam menjadi penghalang dan kekangan terhadap perkembangan e-dagang dalam sesebuah negara. Bagi memenuhi keperluan maklumat dalam laman sesawang kepada pelanggan, perkhidmatan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi amat diperlukan. Hal ini demikian kerana, maklumat dan informasi yang berkaitan dengan sesuatu produk atau perkhidmatan perlu disediakan oleh pembekal. Pengguna akan mendapat maklumat tersebut menerusi laman sesawang dan ini akan memberi impak yang positif apabila pengguna turut melakukan proses pembelian dan kegiatan perdagangan menerusi Internet (Turban dan King, 2003).
            Para pengguna lebih mementingkan kualiti sebenar sesuatu barangan yang dibeli. Pengguna yang bijak tidak melihat sesuatu barangan dari segi luaran semata-mata tanpa mengetahui kualiti sebenar barang tersebut. Contohnya, para pengguna dapat membeli sesuatu produk dengan hanya melihat katalog yang diiklankan dalam perniagaan internet. Apabila barangan yang dipesan sampai kepada pembeli, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain daripada terpaksa menerima barangan tersebut walaupun tidak menepati kehendak mereka (Ding Chong Ming, 2012).
            Segala maklumat yang dipaparkan juga turut boleh disalahguna oleh sesetengah pihak. Ini kerana, maklumat-maklumat yang terkandung di laman web boleh diubahsuai tanpa meninggalkan sebarang kesan. Keadaan ini menyebabkan pihak pembekal mengalami cabaran dalam dunia maya.
            Selain itu, jenayah siber sering berlaku dikalangan masyarakat dan ia sukar dikesan kerana mereka mahir memanipulasikan e-dagang. Ada sesetengah laman web perdagangan palsu menyebabkan pengguna tidak mendapat barangan yang dipesan walaupun pembayaran telah dilakukan melalui elektronik. Jelaslah, e-dagang dapat menimbulkan kesan baik dan buruk kepada para pengguna.



FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN E-DAGANG

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong penggunaan e-dagang kepada para peniaga dan juga pembeli di Malaysia dan juga diserata dunia. Faktor - faktor ini merupakan antara faedah - faedah yang boleh dinikmati oleh para pengguna yang menggunakan perkhidmatan e-dagang.
            Faktor mudah digunaakan memberi kesan terhadap keinginan seseorang untuk membeli menerusi online atau secara offline. Hal ini menunjukkan bahawa seseorang pengguna akan mengenal pasti atau mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya dan seterusnya mempengaruhi seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut atau memberhentikannya. Justeru, mudah digunakan merupakan faktor penting yang memberi kesan secara langsung kepada pengguna sama ada mahu membeli secara online atau sebaliknya (McCloskey, 2004).
            Faktor lain yang mempengaruhi keinginan seseorang pengguna untuk menggunakan khidmat e-dagang ialah faktor pengaruh sosial. Hasil kajian oleh Fan, Saliba, Kendall, dan Newmarch (2005) mendapati pengguna lebih suka memberi cadangan dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan kepada orang lain sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Mereka lazimnya akan memberitahu dan menyarankannya kepada rakan mereka yang terdekat supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut.
          Jarvenpaa, Tractinsky, dan Vitale (2000) dalam kajiannya mendapati faktor kepercayaan adalah penting dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan pertukaran menerusi elektronik. Ini menunjukkan bahawa faktor kepercayaan diberi keutamaan oleh pengguna apabila melibatkan penggunaan sesebuah aplikasi dalam sesebuah laman web.
        Harga dan kos yang berpatutan merupakan motivasi utama seseorang pengguna online dalam melakukan urusan pembelian menerusi laman web (Swatman, Krueger & Van der Beek, 2006). Pengguna membandingkan terlebih dahulu kos yang ditawarkan dalam sesebuah laman sesawang sebelum melakukan pembelian. Sehubungan dengan itu, pengguna amat menitikberatkan perkara berkenaan dengan kos dalam menggunakan aktiviti yang berkaitan dengan e-dagang.

KESIMPULAN

Perkembangan e-dagang di Malaysia sememangnya sudah berada pada tahap yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kini ia semakin diterima oleh masyarakat sebagai satu cara mudah untuk membuat urus niaga tanpa membazir masa dan mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi. Peningkatan infrastruktur komunikasi dalam bidang teknologi maklumat akan mempengaruhi kelajuan dan peningkatan penggunaan aplikasi e-dagang bagi sesebuah negara. Malaysia sudah pun menuju ke arah itu dengan projek Lebuhraya Multimedia. Oleh yang demikian adalah diharapkan urusniaga melalui e-dagang akan menjadi satu budaya urusniaga yang menggalakan dalam masa yang terdekat.
            Usahawan pula harus bersedia mengikut rentak ekonomi masa kini. Jika para usahawan itu ingin mendahului pesaing pada masa depan, ilmu pengetahuan dan kemahiran sahaja akan menentukan survival usahawan dalam dunia perniagaan pada alaf milenium kini. Seharusnya para usahawan bersedia selengkapnya dalam menghadapi perubahan dunia perniagaan yang memasuki era globalisasi di samping perubahan daripada peningkatan dalam industri yang rata-rata berasaskan teknologi maklumat. Semakin hari semakin banyak produk melimpahi pasaran, jadi pengeluar berkehendakkan suatu pendekatan yang tangkas bagi memenuhi sasaran pasaran.




RUJUKAN
1.    Berita Harian (Okt, 2015) online : http://www.bharian.com.my/node/92503

2.    Ding Chong Ming. (2012) . E- Dagang kuasa penggerak perniagaan baru. Dewan Budaya, September : 48-49

3.    Fan, Y., A. Saliba, E.A. Kendall & J. Newmarch. 2005. Speech interface: an enhancer to the acceptance of m-commerce application. Proceedings of the International Conference on Mobile Business (ICMB’05), Sydney, Australia.

4.    Jarvenpaa, S. L., N. Tractinsky , & M. Vitale. 2000. Consumer trust in an Internet store: a cross-cultural validation. Information Technology and Management, 1 (12), 45-71

5.    Lee Fong Yeaw. (2013) . Internet dan perniagaan. Utusan Malaysia, 21 Mei: 5

6.    McCloskey, D. 2003-2004. Evaluating electronic commerce acceptance with the technology acceptance model. Journal of Computer Information systems, 49-57

7.    Swatman, P.M.C., Krueger, C. & Van der Beek, K. 2006. The changing digital content landscape: An evaluation of e-business model development in European online news and music. Internet Research, 16 (1), 53-80.

8.    Turban, E. and King, D (2003) Introduction to E-Commerce, Prentice Hall

You Might Also Like

0 comments